Followers

Wednesday, 12 September 2012

Sahabat, aku bersama mu..


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Insyallah, perkongsian kali ini sebuah cerita.. jom baca! ;)


Lagu Maher Zain, Open Your Eyes berkumandang di subuh hari . Bunyi yang menandakan ada mesej baru yang diterima.



"Entah-entah urgent kot. " desis hatinya. Lalu dia segera membaca mesej tersebut.

"hah????, biar betul ni! Apa??  hmm, biar lah dulu. "

Aisyah lantas bangun dan mengambil wuduk. Solat subuh selesai ditunaikan, kini dia membaca al-mathurat pula, seperti hari-hari sebelumnya.

"….Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk menyokong dan mendaulatkan syariat-Mu, maka eratkanlah akan ikatannya, kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akan jalannya yang sebenar, penuhkan piala hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap, lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman dan keyakinan serta keindahan tawakal kepada-Mu, suburkan hati-hati ini dengan pengetahuan-Mu, jika Engkau takdirkan kami mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah restuilah junjungan kami, Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda semuanya. Juga berikanlah kesejahteraan kepada mereka sebanyak-banyaknya. Amin.."


Selesai membaca doa, Aisyah lantas bangun dan mencapai handphone di atas katil.  Dia merasa
seolah-olah sedang bermimpi tentang mesej yang dibaca tadi. Dengan rasa berdebar-debar, dia membuka ruangan Inbox.

Aisyah masih seperti tidak percaya tentang kandungan mesej itu. Dia  terkedu buat seketika. Tidak ada ucapan yang keluar dari bibirnya,tidak ada sepatah pun yang muncul. Dia membaca mesej itu berkali-kali. Tetapi dia hampa kerana tidak ada satu pun perkataan di dalam mesej tersebut yang berubah.

Jujurnya Aisyah terkejut. Dia tidak pernah menyangka apa yang pernah dia fikirkan dahulu telah terjadi hari ini.
"Apa salahku? Kenapa dia berkata seperti itu?  Bukankah kami pernah bersama-sama di jalan ini. Menempuh dugaan bersama. Tak mungkin dia dah lupa kot?"

Aisyah mengambil masa yang agak lama untuk membalas mesej itu. Dia tidak tahu apa yang harus dia katakan. Takut tersilap bahasa nanti lain pula jadinya. Tapi digagahi juga jarinya untuk terus menaip kata demi kata, hanya Allah saja yang tahu betapa sedih hatinya saat itu. Air matanya hampir saja membasahi  pipinya, namun dikuatkan semangatnya menghadapi apa yang terjadi.

……………………………………..

" Sahabat, andai saja kau tahu bahawa aku rindu pada mu, sudah lama kita tidak bersua, rindu ini kian menghimpit lebih-lebih lagi setelah kau hantar mesej itu, hmm mengapa? Ingin aku bertanya, tapi tak terdaya, tidak kuat kudratku apa lagi jiwaku, takut kau terguris hati, takut kau menyalah erti maksudku. Aku ingin bertemu dengan mu wahai sahabat.."

Pagi itu aisyah merasakan semua tak kena. Resah dan gelisah. Tapi dia sedar itulah ujian Allah, dia yakin Allah sedang menguji mereka berdua.

Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan.. Berikan kekuatan buat aku dan sahabat ku dalam mengharungi setiap apa yang takdirkan buat kami..sesungguhnya aku sedar ini semua tidak lain adalah ujian -Mu.. Untuk melihat sejauh mana diri ini ikhlas sejauh mana diri ini dapat bertahan dalam jalan penuh dugaan ini..
Jika itu yang dia mahu, aku mohon Ya Allah agar Engkau tunjukkan jalan buat dia, kembalikan dia ke jalan ini..kembalikan dia sebagai pejuang-Mu.. Hanya kepada-Mu aku berdoa.. Sesungguhnya ketentuan-Mu itulah yang terbaik..

" aku mesti jumpa dia  hari ni!"

Aisyah segera ke bilik rakannya itu untuk meminta penjelasan. Dengan hati yang sedih dia tidak mahu menunggu lagi, kerana dia harus mendapatkan jawapannya.

"Assalammualaikum..Ana..??" salam dihulur sebaik saja sampai di pintu bilik Ana. Hatinya berdebar-debar.

"Waalaikumsalam..eh, kau Aisyah. Ada apa kau datang ni? Pasal mesej tu ke?" Ana terkejut melihat kelibat Aisyah yang sememangnya tidak dia jangka akan datang ke biliknya, walaupun dia tahu mereka sering  belajar bersama di biliknya.

"Boleh aku masuk ke Ana?"

"Ada ape ek Aisyah? Aku ada hal kejap lagi ni, kita cakap kat sini ja la ya?"

"Baiklah, emm, aku datang ni nak tanya kau pasal mesej tempoh hari. Kenapa kau cakap macam tu ek? Kau tak nak aku jadi kawan  kau dah? Bukankah kita dah lama berkawan, takkan kerana perubahan aku ni buat kau tak nak kawan dengan aku?" berdebar hatinya menunngu reaksi Ana.

"hm, macam ni la Aisyah. Kau dan aku sekarang dah jauh berbeza. Kita dah tak sehaluan lagi. Kau dah pilih jalan tu, aku dah tak boleh nak kata apa. Pemikiran kita pun dah tak sama. Aku masih aku, tapi kau macam bukan lagi Aisyah yang aku kenal selama kita berkawan. Jadi aku harap kau faham apa maksud aku, k."

Suasana sepi buat seketika masing-masing diam tanpa kata. Kelihatan air mata Aisyah tidak sabar lagi untuk jatuh, dia sudah tidak terdaya menahan rasa sedihnya. Ana hanya mampu melihat dan tak mampu berkata apa-apa.

"Ana, kau malukah punya kawan seperti aku? Malukah kau pada penampilan yang aku pilih ni? Malu kah kau dengan sifatku ini. Ya aku telah berubah, aku tahu itu. Mungkin sudah terlalu jauh dari diri ku yang lalu, jauh dari Aisyah yang kau kenal dari bangku sekolah lagi. Tapi, aku tak rasa perubahan ini menjejaskan persahabatan kita. Kau masih lagi sahabat baik aku. Aku mohon Ana, jangan malu pada aku. Tapi malu pada Allah, kerana aku manusia biasa seperti kau, aku hanya hamba kepada Tuhan ku, aku juga hina kerana dosaku, yang tak terhitung banyaknya salah ku di masa lalu." air matanya jatuh berderai. Mengharapkan Ana agar memahami maksud ucapannya itu.

" Sudah. Cukup Aisyah. Tak perlu kau bahas panjang lebar kat sini. Kau dengan pilihan kau, aku dengan pilihan aku. Aku tahu apa aku buat. Kita bukan budak kecil lagi. Masing-masing punya pilihan sendiri. Kau sudah memilih dan aku juga memilih. Dan ternyata pilihan kita berbeza. Dah lah, aku ada hal nak buat, k. Assalamualaikum." Ana berlalu pergi dan pintu biliknya ditutup rapat.

Hanya Allah yang tahu saat ini hati Aisyah  sedih memikirkan sahabatnya itu. Beberapa saat dia terkedu di depan pintu bilik Ana, lalu dia pergi membawa diri yang pasrah. Itukah jawapannya? Hanya kerana pilihan aku, dia sudah tidak mahu berkawan dengan ku? Salahkah aku Ya Allah? Air matanya begitu murah saat itu.
…………………………………………….

Sampai dibiliknya, Aisyah mendirikan solat sunat taubat. Selesai solat dia mengubat hatinya dengan membaca ayat Al-Quran.

' Ya Allah ini memang jalan yang aku pilih. Aku tidak ingin kembali ke masa lalu ku. Masa yang aku sia-siakan begitu sahaja, aku tidak mahu kembali kepada hidupku yang dulu, hidup yang aku penuhi dengan hanya bergembira tak kira masa, duit aku habiskan untuk  menonton wayang, membeli benda yang tak berfaedah. Hidupku dulu tidak menjaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Itulah hidup yang aku mahu tinggalkan Ya Allah..bantu hamba-Mu ini untuk mencari reda-Mu.. Bantu sahabat ku juga Ya Allah.. Berikan mereka hidayah dan taufik-Mu.. Aku ingin mereka merasakan betapa indahnya hidup ini  bertemankan reda-Mu, betapa bahagianya perasaan saat dapat sujud kepada-Mu, betapa gembira jika dapat berbakti dalam agama-Mu.. Andai dapat ku kongsikan perasaan ini, andai dapatku berikan perasaan ini.. Sudah pasti akan aku hadiahkan kepada mereka.. Namun ianya tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata.. Ketenangan yang dirasa tidak mampu ku olah dengan kata-kata.. Semoga suatu hari nanti jalan ini akan menjadi pilihan sabahat ku jua.. Semoga syurga-Nya menjadi tempat kami ditemukan..'

"Ana..semoga jalan yang kau pilih juga membawa kita ke syurga-Nya suatu hari nanti.. Aku akan sentiasa bersama mu.."

  • The End